Kerjasama Pas-Bersatu seakan mahu muktamadkan MN: Ahmad Maslan
ISKANDAR PUTERI - Keputusan Pas bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat seakan mahu memuktamadkan Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan dan UMNO sememangnya sudah menduga Pas akan bekerjasama dengan Bersatu.
"Kelihatan mereka yang ingin memuktamadkan (MN), dalam lain perkataan bukan kita (berbuat demikian) tetapi sebelah mereka. Mereka ingin mengulang apa yang berlaku dalam PRN Melaka.
"Ini sudah kita fahami mereka mahu berlawan seperti PRN Melaka. Sebelum ini kita taklah kata sudah muktamad (MN) tapi apabila semalam sudah bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), saya tidak nampak ruang apa-apalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Parti Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada di sini pada Ahad.
Turut hadir, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran dan Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr M Surya.
Ahmad mengulas status MN selepas Pas menerusi Muzakarah Pas Bersatu di Shah Alam pada Sabtu, mengumumkan akan bekerjasama dengan Bersatu dan Parti Gerakan dalam PRN Johor.
Ahmad berkata, UMNO bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun pada masa sama tidak mahu terlalu selesa dan yakin dalam PRN Johor.
"Kita kena sentiasa gigih berusaha dan tidak mahu terlampau yakin, kita akan terus rancang strategi dan bertemu serta mendekati pengundi di Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!