Dakwaan buruh paksa, Saravanan akan bertemu syarikat dikena sekatan

Saravanan
Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan akan bertemu dengan semua syarikat yang dikenakan sitaan dan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan amalan buruh paksa.

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan tindakan yang boleh diambil bagi menangani dakwaan melibatkan amalan buruh paksa berkenaan.

“Baru-baru ini CBP AS telah mengeluarkan notis penemuan dan Perintah Tahan Pelepasan (WRO) terhadap beberapa syarikat tempatan dan menyita semua produk kelapa sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad serta anak syarikatnya di Amerika Syarikat.

“Pada masa yang sama sekatan WRO juga telah dikenakan kepada produk sarung tangan getah keluaran syarikat YTY Group daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat.

“Saya telah mengarah agar siasatan segera dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja kerana pengumuman tersebut akan menjejaskan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan ia tidak boleh dibiarkan berterus,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Saravanan berkata, beliau telah menekankan perkara tersebut semasa bertemu Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia di Jakarta dan memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan sentiasa melindungi serta menjaga kebajikan semua pekerja termasuk pekerja warga asing.

Tambah beliau, dalam hal sebegini, Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa 2021-2025 (NAPFL) yang dilaksanakan turut berperanan sebagai kerangka bagi semua program dan aktiviti untuk membasmi gejala buruh paksa.

“Matlamat strategik NAPFL yang merangkumi aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh serta akses kepada pemulihan dan perlindungan kepada mangsa memberi penekanan kepada indikator buruh paksa yang dikaitkan dengan syarikat tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya adalah penipuan, penahanan dokumen pengenalan diri, perhambaan hutang, ugutan dan ancaman, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk serta kerja lebih masa yang melampau.

“Saya akan menangani isu ini dengan segera bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan amalan buruh paksa dan semua syarikat yang dikenakan sekatan eksport perlu memperbaiki amalan dalaman mereka serta tindakan keras akan diambil terhadap syarikat yang masih ingkar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!