Empat beranak maut: Pemandu pacuan empat roda direman tujuh hari
BENTONG - Pemandu pacuan empat roda yang terbabit nahas hingga menyebabkan empat beranak maut di Kilometer 2, Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di sini pada Jumaat lalu direman tujuh hari bermula Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Raub, Yusri Wanu Saki.
Menurutnya, perintah direman terhadap suspek dikeluarkan sehingga 4 Februari ini bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan sedang disiapkan dan suspek akan dituduh di mahkamah secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang pada Jumaat lalu, empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami Raihan yang memandu kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Vellfire, Mohd Nazri Hamid, 44 cedera di tangan kiri.
Mereka sekeluarga dari Gua Musang, Kelantan dan dalam perjalanan menghadiri kenduri perkahwinan anak saudara isterinya di Kajang.
Suspek yang memandu Nissan Navara pula cedera di kepala dan positif methamphetamine, opiat dan amphetamine hasil ujian awal air kencing.
Siasatan awal polis mendapati, pemandu pacuan empat roda terbabit dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.
Hasil semakan, suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!