Ugut bapa saudara: Lelaki diarah jalani rawatan
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini mengarahkan seorang nelayan yang berdepan pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bapa saudaranya dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan.
Terdahulu, tertuduh Tuan Mohd Shuhaidi Tuan Salleh, 37, dari Chendering, di sini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah untuk mencederakan Tuan Yusof Tuan Abdullah, 61, dengan niat menimbulkan rasa takut, dalam kejadian di Kampung Bukit Batu Putih, Chendering, di sini, kira-kira jam 8 malam, pada 5 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.
Abdul Hayyi kemudian menetapkan 16 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam, pada 5 Mac lalu, semasa mangsa, 61, sedang berehat di rumahnya sebelum dikejutkan dengan kedatangan suspek yang memberitahu ingin bergaduh dengannya.
Menurut sumber, sambil memegang sebilah golok, suspek memberitahu mahu menikam dan membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap warga emas itu yang dikatakan ada membuat laporan polis mengenai dirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!