Bukit Aman siasat kematian lelaki selepas ditahan
KUALA LUMPUR - Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menyiasat berkaitan kes seorang lelaki meninggal dunia selepas ditahan di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar telah dimaklumkan mengenai kejadian seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai pesakit mental mengamuk dan menyerang bapanya di rumah berkenaan pada jam 7 petang.
"Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati suspek dalam keadaan agresif sedang bergelut dan ditahan di atas tanah oleh empat lelaki termasuk bapanya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azri berkata, pihak polis kemudian menahan suspek untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, suspek tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan," katanya.
Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!