Ketua Pemuda UMNO Johor tawar diri tanding PRN

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

"Saya sudah kenal pasti dua atau tiga kerusi DUN yang akan ditandingi tetapi perkara ini masih lagi rahsia," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Setiausaha Agung UMNO Bersama Parti Makkal Sakti Kebangsaan dan Perhubungan UMNO Johor di sini pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden Makkal Sakti, Datuk R S Thanenthiran dan Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri M Surya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO negeri mengharapkan kepimpinan tertinggi parti akan menimbang permintaan untuk meletakkan kira-kira 20 hingga 30 peratus calon muda dalam PRN tersebut.

Permintaan itu katanya, sudah dimohon kepada pucuk pimpinan parti, badan perhubungan negeri dan Ketua Pemuda UMNO Pusat, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.

"Pemuda UMNO Johor harap 50 peratus calon muda diletakkan dalam PRN kali ini tetapi kita akur kerana sayap parti seperti wanita, puteri dan bahagian juga mahu calon mereka bertanding," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting dapat meletakkan calon muda kerana fenomena dalam PRN, pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya umum (PRU) sebelum ini menyaksikan mereka menang dalam semua kerusi ditandingi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada penglibatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PRN Johor memberi ancaman kepada Pemuda UMNO, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan parti tersebut.

Namun beliau berharap, orang muda akan dapat menilai kebijaksanaan pemimpin parti dan tidak tersalah memilih calon dalam PRN berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!