Dua ADUN keluar Bersatu kerana takut tidak dicalon dalam PRN Johor
JOHOR BAHRU - Tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor didakwa kerana sudah mengetahui tidak dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Bersatu Bahagian Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, mereka juga sedar tidak dicalonkan semula kerana kegagalan menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai wakil rakyat termasuk semasa menjadi Exco kerajaan negeri.
"Tindakan dua bekas ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco) daripada Bersatu Johor itu adalah tindakan yang sia-sia sekali gus memalukan diri serta penyokong mereka.
"Keputusan mereka ini sebenarnya tidak sesekali meninggalkan sebarang kesan terhadap Bersatu sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian.
"Ini termasuk tiada kesan terhadap keseluruhan penyokong dan pendukung Perikatan Nasional (PN) malah kepada pengundi di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang juga Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri mengumumkan keluar Bersatu kerana memdakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.
Sebelum itu, pada Rabu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor turut mengumumkan keluar parti atas sebab yang sama.
Mengulas lanjut, Ahmad Humaizi menyifatkan tindakan mereka keluar Bersatu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai penakut dan mempunyai politik dendam.
"Sebagai ahli parti, saya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penyokong dan pendukung kedua-dua bekas ADUN dan Exco Kerajaan Johor ini.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencabar mereka bertanding pada PRN Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!