Kes Covid-19 di Kelantan dijangka naik ketika cuti perayaan
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan bilangan kes Covid-19 akan naik semasa cuti sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu ini.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, jangkaan peningkatan kes itu susulan terdapat pergerakan keluar dan masuk ke negeri ini.
"Jadi nasihat saya kepada orang ramai supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19.
"Selalu pakai pelitup muka; cuci tangan, jaga penjarakan sosial dan kurangkan mengunjungi tempat-tempat sesak. Ingat kita belum menang melawan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurutnya, kebanyakan kes jangkitan yang sedang melanda Kelantan ketika ini berada pada tahap satu dan dua.
Beliau berkata, lapan buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) masih aktif di Kelantan ketika ini.
Dr Zaini berkata, JKNK yakin sekiranya berlaku peningkatan kes, PKRC yang ada ketika ini mampu menampung keperluan tersebut.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa jalan utama dinegeri ini pada Ahad dilihat mulai sesak ekoran pertambahan bilangan kenderaan.
Sinar Harian 27 Januari lalu melaporkan Polis Kelantan menjangkakan kira-kira 800,000 buah kenderaan perantau akan memasuki negeri ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ia susulan daripada penduduk yang tinggal di luar Kelantan termasuk di ibu negara Kuala Lumpur akan mula pulang dan bercuti di kampung halaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!