Perhilitan tangkap gajah masuk kampung di Jerteh
JERTEH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Padang Tapong di sini pada Sabtu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung gajah liar yang dilihat berkeliaran di sekitar kampung berkenaan sebelum ini.
"Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah tersebut pada jam 2.15 petang selepas tidak lama usaha mengesannya dilakukan.
"Gajah jantan dianggarkan berusia 15 tahun dengan berat kira-kira dua tan itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Pelagat yang terletak berdekatan kampung itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
Kean Seong berkata, gajah tersebut dijangka dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu pada Rabu ini.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Zulkifli Ismail, 61, berkata, dia berasa lega selepas gajah tersebut berjaya ditangkap oleh Perhilitan.
"Banyak tanaman pisang, nanas, nangka dan getah di kebun saya yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan raya di kampung ini dimakan dan dirosakkan haiwan tersebut sejak tiga hari lepas.
"Disebabkan ada gajah berkeliaran, saya juga bimbang untuk ke kebun kerana khuatir ia masih bersembunyi di dalam semak berhampiran,” katanya menambah beberapa kebun penduduk lain turut dimusnahkan gajah liar tersebut termasuk kawasan tanaman kelapa sawit.
Menurut beliau, sebelum ini gajah berkenaan juga didapati pernah menghampiri kawasan perumahan, Taman Saujana yang terletak berdekatan kampung tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!