Polis ada petunjuk jelas: KPN
PASIR GUDANG - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mempunyai beberapa petunjuk yang jelas membabitkan suspek terlibat dalam bencana pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha untuk mengesan suspek yang terlibat juga sedang diperhebatkan pada ketika ini.
“Dan operasi mengesan dan menjejak suspek yang berkaitan sedang kita laksanakan pada ketika ini, dengan kerjasama bukan sahaja polis Johor tetapi juga di peringkat Bukit Aman.
“Jadi saya harap orang ramai mesti memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi terlibat, termasuk PDRM yang mengawal daripada aspek keselamatan. Harap patuh kepada ‘roadblock’ yang dibuat. Ada sembilan ‘point’ saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor sebentar tadi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Saringan, Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, PDRM juga sudah menempatkan tiga platun bagi mengawal kediaman yang ditinggalkan oleh mangsa, serta menjaga aspek keselamatan harta benda daripada kecurian.
Katanya, selain itu, lori-lori yang tiada kaitan juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan bencana bagi mengelak perkara sama tidak berulang dalam masa yang terdekat.
Ditanya mengenai percanggahan maklumat penahanan suspek sebelum ini, beliau berkata, operasi dijalankan antara agensi atau jabatan terlibat dengan PDRM adalah secara berasingan.
“Kecuali kita dimaklumkan. Tapi di pihak PDRM pada ketika ini, tidak ada tangkapan dibuat. Jadi itu fakta yang kita telah laporkan kepadan media. Semalam pun saya ada majlis di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, dan saya pun sudah maklumkan tentang perkara ini.
“Jadi apa yang dikeluarkan oleh pihak jabatan lain itu, kita tak dapat nak komen ‘more on them’. Kita tidak ada niat untuk bercanggah dari segi pelaksanaan tugas bagi membendung keadaan ini agar kembali normal,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata, sebanyak 76 laporan polis diterima daripada mangsa atau keluarga, berhubung kejadian pencemaran sisa bahan kimia Sungai Kim Kim, dan dijangka ia bertambah dari masa ke semasa.
Beliau menegaskan PDRM sudah membuat petunjuk mengenai kejadian itu, dan sedang memburu suspek-suspek yang berkaitan.
“Kita akan laporkan kemudian mungkin ada tangkapan dan sebagainya. Pihak PDRM khususnya PDRM Johor tak berdiam diri. Kita pun ada macam ‘task force’ kita tubuhkan diketuai oleh Ketua Polis Negeri dan dibantu oleh Bukit Aman.
“Kita ada ‘lead’ yang agak jelas tentang perkara ini. Jadi operasi memburu dan menjejak suspek berkaitan sedang rancak kita laksanakan pada ketika ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!