Jabatan Perhutanan gagalkan cubaan pindah balak

Sebahagian daripada 27 tual pelbagai spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit dari Hutan Simpan Lakum pada Sabtu. - Foto ihsan JPNP
Sebahagian daripada 27 tual pelbagai spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit dari Hutan Simpan Lakum pada Sabtu. - Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya menumpaskan cubaan memindahkan 27 tual balak bersaiz 2.4 meter panjang tanpa permit di Hutan Simpan Lakum, Bentong pada Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, kegiatan itu berjaya dikesan hasil aduan orang awam berhubung aktiviti pencerobohan di kompartmen 11 hutan simpan.

Menurutnya, semakan dilakukan di dalam kawasan terbabit menemui tiga longgok balak pelbagai spesies seperti perah, mempening, kelat dan berangan bersaiz panjang 2.4 meter panjang bernilai lebih RM7,000.

"Selain itu, pihak kita turut menemui jentera yang digunakan untuk mengangkat balak dan motorsikal jenis Honda EX5 dipercayai milik individu yang melakukan kegiatan haram itu.

"Kita percaya ia adalah satu kegiatan haram dan sindiket ini dipercayai mempunyai pengalaman luas dalam melakukan kegiatan menceroboh hutan simpan serta memindahkan balak tanpa permit di daerah ini berdasarkan kerja-kerja yang mereka lakukan.

"Mereka ini terdiri daripada tiga individu tempatan yang mempunyai rangkaian aktiviti berkenaan terutama membabitkan pemandu lori dan pengusaha kilang papan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nor Azirim menjelaskan, kesemua balak yang ditebang mengikut saiz ditempatkan dalam ladang kelapa sawit yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Lakum buat sementara.

Katanya, penempatan kayu balak itu dilakukan di kawasan itu bagi memudahkan proses pemindahan balak yang dipercayai akan dilakukan waktu malam.

Artikel Berkaitan:

"Kita gagal menangkap suspek kerana mereka (sindiket) itu mungkin menggunakan khidmat, pemberi maklumat atau tonto, namun siasatan lanjut tetap dilakukan bagi mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan haram itu, jentera dan motosikal yang disita akan menjadi petunjuk.

"Kita tidak berkompromi dengan individu yang terbukti melakukan kegiatan memindahkan hasil hutan seperti balak dan bahan galian seperti emas termasuk bijih besi.

"Tindakan undang-undang menunggu mereka sekiranya terbukti bersalah" ujarnya.

Beliau memaklumkan, kesemua jentera yang dijumpai akan ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan kes JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh bagi tujuan sitaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara (APN 1984) Pindaan 1993.

Dalam masa sama, Nor Azirim turut merayu masyarakat memberi kerjasama dengan menyampaikan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!