Kemarau: IADA bantu salur air ke sawah
Pengarah Projek IADA Kemasin Semerak, Rohani Jusoh berkata, tindakan itu merupakan usaha yang dijalankan pihaknya untuk mengelak para pesawah mengalami kerugian akibat masalah tersebut.
"Saya berharap para pesawah terbabit dapat bersabar kerana pihak kami (IADA Kemasin Semerak) sedang bertungkus lumus untuk mengatasi masalah itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Menurutnya, IADA Kemasin Semerak sebelum ini telah menempatkan dua buah pam kecil bergerak di Bukit Yong sebagai langkah sementara tetapi tidak mampu mengairi ke semua bendang yang terbabit.
Beliau berkata, pam besar di Sungai Yong yang digunakan untuk menyedut air sebelum ini rosak sejak dua minggu lalu sudah siap dibaik pulih pada Ahad.
Menurutnya, pam berkenaan mampu mengairi kawasan bendang yang terjejas dengan kemarau tersebut.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seramai 150 pesawah kemungkinan berdepan kerugian RM800,000 apabila kemarau melanda lebih awal di kawasan bendang di Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, di sini hampir sebulan lalu.
Masalah itu menyebabkan kerja-kerja pembajaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna susulan kawasan sawah seluas 200 hektar menjadi kering-kontang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!