Perguna kanak-kanak kutip derma
ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan menyita sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani kerana beroperasi tanpa kebenaran selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.
Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pusat yang dibangunkan sejak 2005 itu tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007 sebaliknya hanya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak Julai 2017.
Katanya, pusat itu dikesan mengeksploitasi kira-kira 120 pelajarnya termasuk 11 anak yatim di situ dengan mengarahkan mereka meminta derma sambil menjual produk.
"Saya sendiri pernah terserempak dengan pelajar ini ketika di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Tapah dan cuba menegur tindakan mereka tetapi mereka menjawab dengan cara provokasi.
"Saya rasa mereka memang diajar untuk jawab begitu," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Ismail berkata, pihak berkuasa sebelum ini telah mengeluarkan beberapa arahan agar pusat berkenaan menghentikan operasi.
"Bagaimanapun mereka menghantar surat pada 3 Februari 2008 memohon penangguhan penutupan pusat terbabit. Malah dari masa ke semasa, pusat terbabit masih beroperasi dan didapati menukar nama kepada Pertubuhan Pendidikan dan Latihan Amal Bestari serta menjalankan kegiatan jualan seperti biasa.
"Pada 28 Januari 2014, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mengeluarkan surat untuk mengarahkan pusat terbabit menghentikan operasi dan aktiviti jualan oleh pelajar namun mereka dikesan berpindah ke lokasi baharu di Kampung Permatang Alor Ibus, Jalan Yan," katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, pusat itu kini dikesan berpindah ke lokasi terbaru di Taman Zamrud, Pekan Baru, Sungai Petani dengan menjalankan modus operandi sama tanpa berdaftar dengan JAIK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, susulan itu kerajaan negeri akan mengambil tindakan akhir menyita premis terbabit pada hari ini berdasarkan peruntukkan Seksyen 16A dan Seksyen 21 mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.
"Mengenai nasib pelajar di pusat itu, JKM akan mengambil 11 pelajar yang terdiri daripada anak yatim manakala 109 lagi yang semuanya berusia bawah 12 tahun diserahkan semula kepada ibu-bapa masing-masing," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius tindakan eksploitasi kanak-kanak sekali gus meminta masyarakat supaya tidak terpedaya dengan elemen simpati dimainkan pengusaha pusat tahfiz terbabit bagi mengaut keuntungan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan anak-anak yatim berkenaan meraih simpati masyarakat akibat dihalau pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!