Nadal juara Terbuka Australia
PEMBURUAN kejuaraan Terbuka Australia berlangsung sengit menyaksikan juara pertama Grand Slam tahun ini menjadi milik pemain nombor lima dunia, Rafael Nadal selepas mengatasi Daniil Medvedev dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Bintang tenis Sepanyol itu bangkit daripada ketinggalan dua set untuk melakar kemenangan 2-6, 6-7(5), 6-4, 6-4, 7-5 ke atas pemain Rusia yang juga pemain nombor dua dunia tersebut di Rod Laver Arena.
Kemenangan itu memahat sejarah baharu apabila Nadal menjadi pemain tenis pertama meraih gelaran Grand Slam paling banyak dengan 21 kejuaraan mengatasi pesaing terdekat Roger Federer dan Novak Djokovic.
Kejayaan di Melbourne Park itu juga membolehkan Nadal yang berusia 35 tahun meraih kejuaraan Grand Slam keduanya di Australia selepas bertarung sengit menentang Federer di edisi 2009 sekali gus rekod kejuaraan Grand Slam ke-21.
Untuk rekod, masa depan Nadal sebelum ini samar berikutan kecederaan berpanjangan menyaksikan empat penampilan di pentas akhir pada 2012, 2014, 2017 dan 2019 berakhir dengan status naib juara.
Medvedev yang tampil dalam pemburuan kejuaraan kedua Grand Slam setelah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu selepas menjinakkan Novak Djokovic terpaksa akur pengalaman berpihak Nadal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!