Guna pukat lohong, tujuh nelayan ditahan
GEORGETOWN - Tujuh lelaki tempatan ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong di Tanjung Bungah, di sini pada jam 12.40 tengah malam, Ahad.
Kesemua mereka ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun itu ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Tanjung Bungah.
"Ketika membuat rondaan, kita mengesan sebuah bot nelayan berada di kawasan Tanjung Bungah. Setelah pemeriksaan dijalankan, kita mendapati kesemua lelaki yang berada di atas bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong iaitu peralatan yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan.
"Semakan mendapati, bot nelayan tempatan itu berpangkalan di Bakau Tua, Penaga dekat sini. Bot serta tujuh lelaki itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.
"Saya menasihatkan komuniti nelayan agar mematuhi peraturan-peraturan menangkap ikan yang telah termaktub di dalam buku lesen supaya tidak menyalahi undang-undang sedia ada.
"Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut. Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!