Ahmad Faizal ucap takziah kepada Azizulhasni atas pemergian bapa
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan salam takziah kepada jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan pemergian bapanya, Awang Embong, awal pagi Isnin.
Ahmad Faizal dalam satu ciapan di laman Twitter juga mendoakan agar Azizulhasni sekeluarga tabah menghadapi dugaan daripada yang Maha Esa.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama dengan roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran berkenaan pada Isnin.
Allahyarham Awang, 72, meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Dungun, Terengganu, pukul 2 pagi Isnin.
Abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, 37, berkata, Allahyarham baru-baru ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan selama empat hari namun dibenarkan pulang petang, semalam (30 Jan) sebelum meninggal dunia.
Mohd Razman berkata, solat jenazah buat Allahyarham Awang akan dilakukan selepas solat Zuhur di Surau Ustaz Omar Shukri sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun, hari ini (Isnin).
Sementara itu, Azizulhasni di laman Facebook mendoakan agar arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Ya Allah! Ampunilah almarhum (Awang Embong), berilah dia rahmat-Mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!