'Salam kosong' punca PCS kalah: Anifah

Anifah menerima borang keahlian menyertai PCS daripada Pemimpin Masyarakat Rungus, Usarang Monungkup di Kota Marudu.
Anifah menerima borang keahlian menyertai PCS daripada Pemimpin Masyarakat Rungus, Usarang Monungkup di Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menyeru pengundi di kawasan ini supaya tidak mengamalkan sikap 'menjual' undi kepada calon yang hanya memberi 'salam ada isi' atau wang undi ketika pilihan raya.

Beliau berkata, wang yang diterima daripada salam berisi itu tidak akan memberi jaminan pembangunan atau mengubah nasib rakyat jika calon itu menang dan memerintah selama dalam tempoh lima tahun.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, PCS meletakkan banyak calon terutama golongan muda bertanding supaya mereka dapat merasai pengalaman berpolitik, namun ramai yang hilang deposit.

"Saya tertanya-tanya kenapa calon kita ramai hilang. Mula-mula banyak sokongan contohnya di Kuala Penyu yang dikatakan ada peluang. Hasil laporan disebabkan 'salam kosong' menyebabkan pengundi lari saat akhir.

"Saya tidak tahu di sini ini sama juga, tetapi adakah salam yang diberi waktu mengundi itu akan berkekalan selama lima tahun," katanya ketika berucap pada majlis santai mesra di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, bekas Menteri Luar itu berharap pengundi dapat mengubah sikap berkenaan supaya nasib mereka terbela pada masa akan datang.

"Sabah kaya dengan sumber-sumber asli tetapi kenapa beberapa kawasan kita di negeri ini antara yang termiskin. Adakah ini kerana sebab kamu, atau pemimpin atau pun kerajaan.

"Adakah rakyat di Kota Marudu bangga dengan gelaran tempat yang paling termiskin di Malaysia. Kalau tidak, nasib kamu tidak akan berubah melainkan kamu juga berubah.

"Saya bukan menuduh kalau di sini ada 'salam ada isi' itu, tetapi kalau itu yang kita amalkan sampai hari kiamat juga rakyat ini tidak akan bertukar nasib," katanya.

Sebelum itu, dalam majlis itu Anifah menerima sebanyak 572 borang keahlian untuk menyertai PCS yang terdiri ahli Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Kota Marudu dan Kudat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden PCS, Datuk Pang Yuk Ming; Bendahari PCS, Datuk Murshidi Abd Ghaffar dan Ketua Bahagian PCS Kota Marudu, Datuk Webley Disim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!