ECER terus pacu pertumbuhan saksama, inklusif
KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menegaskan komitmen untuk melaksanakan pelbagai projek dan program di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi mengekalkan pertumbuhan sosioekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di wilayah itu.
ECER dalam kenyataan hari ini berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memastikan pembangunan yang saksama, inklusif dan mampan di seluruh negara.
“Strategi ECERDC yang mengutamakan rakyat diteruskan berdasarkan keberkesanan projek-projek dan program-program dalam meningkatkan tahap pendapatan dan status sosioekonomi, khususnya menerusi program pembangunan modal insan yang setakat ini memberi manfaat kepada lebih 90,000 individu.
“Ia sekali gus membantu memastikan pembangunan wilayah yang seimbang dan agihan kekayaan yang saksama. Pada masa sama, program-program ini juga akan menyokong pelaburan swasta menerusi pembangunan pekerja mahir dan usahawan,”menurut ECER.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, kerajaan menerusi ECERDC akan terus meneraju pembangunan sosioekonomi wilayah ini ke fasa seterusnya, seperti digariskan di bawah Pelan Induk ECER 2.0 dengan memanfaatkan pertumbuhan sosioekonomi positif yang berjaya dicapai setakat ini.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memudahkan pelaksanaan projek infrastruktur pemangkin, meningkatkan usaha untuk menarik dan merealisasikan pelaburan swasta serta melaksanakan program pembangunan modal insan yang holistik di ECER,” katanya.
Bagi tempoh 2019 dan 2020, ECERDC menyasarkan untuk menarik pelaburan swasta tambahan sebanyak RM17 bilion dan merealisasikan RM15 bilion pelaburan swasta bagi mewujudkan 31,000 peluang pekerjaan baharu untuk warga tempatan.
Pertumbuhan pelaburan yang disokong oleh program pembangunan usahawan dan bakat di bawah ECERDC juga dijangka menghasilkan peluang perniagaan kepada 11,000 usahawan tempatan di ECER. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!