Polis kesan saksi, pemandu Toyota Hilux terlibat kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Sungai Ujong berhampiran bangunan Muzium Negeri Sembilan. - Foto media sosial
Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Sungai Ujong berhampiran bangunan Muzium Negeri Sembilan. - Foto media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Polis meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berhubung kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Ujong berhampiran bangunan Muzium Negeri Sembilan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan motosikal dengan sebuah kenderaan dipercayai Toyota Hilux.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki berumur 72 tahun dari arah Seremban menuju ke Seremban 2.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangnya di lorong kanan dipercayai telah bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux nombor pendaftaran tidak pasti menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke tembok tengah pembahagi jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah kaki kanan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lokasi kejadian berhampiran dengan Muzium Negeri Sembilan. - Foto media sosial
Lokasi kejadian berhampiran dengan Muzium Negeri Sembilan. - Foto media sosial

Nanda berkata, sehingga kini pemandu Toyota Hilux berkenaan masih belum hadir membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Pihak polis giat mengambil tindakan bagi mengesan pemandu serta kenderaan terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini, boleh salurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Shaifullah Othman di talian (019-6327732) bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!