Dakwaan buruh paksa: Tindakan AS terhadap Sime Darby terburu-buru

Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Sime Darby Plantation adalah terburu-buru dan tidak berasas.

Ia ketika konglomerat pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia itu sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada AS dalam masa terdekat.

Menurutnya, kementerian akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu tersebut daripada agensi berkaitan di AS agar penyelesaian segera dapat dicapai.

"Bagi tujuan ini KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di AS dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau optimis usaha berterusan kementerian dan semua agensi berkaitan, isu tersebut akan dapat diselesaikan segera.

"Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan yang lain.

"Selain itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara kita," katanya.

Jumaat lalu, Washington mengumumkan akan merampas produk minyak sawit dan berkaitannya hasil keluaran Sime Darby selepas siasatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu menemui terdapatnya penggunaan buruh paksa.

Artikel Berkaitan:

CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap Sime Darby Plantation daripada Perintah Pelepasan Penahanan ‘Withhold Release Order’ (WRO) kepada Penemuan (Finding).

Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di AS, namun tidak boleh didagangkan atau diproses.

Walau bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh Sime Darby Plantation, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!