Ebit Lew tempah zink dari KL untuk mangsa ribut
IPOH - Simpati dengan nasib dialami mangsa ribut di beberapa kawasan di sini, pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew turun padang melihat kesan bencana tersebut pada Isnin.
Menerusi hantaran di Facebook, Ebit Lew menzahirkan rasa simpati kepada mangsa ribut, terutama di Kampung Tawas yang kebanyakan berbangsa Cina memandangkan sambutan Tahun Baharu Cina akan berlangsung pada Selasa.
Menurutnya, sumbangan dan bantuan turut diberikan kepada mangsa ribut, termasuk keperluan bumbung rumah iaitu zink yang ditempah dari Kuala Lumpur.
"Doakan kami tengah order zink dari KL (Kuala Lumpur) sekejap lagi sampai sebab kedai hardware di sini tutup cuti. Berat ujian mereka. Di Kampung Tawas ini ramai Chinese siap-siap nak sambut raya Cina habis semua atap bilik dinding.
"(Kami) Beri sedikit hadiah dan beri kata semangat. Mereka tumpang di dewan orang ramai," katanya menerusi hantaran tersebut pada Isnin.
Selain Kampung Tawas, Ebit Lew turut ke beberapa kawasan lain yang terjejas akibat ribut tersebut untuk menghulurkan sumbangan.
Dalam hantaran Facebook itu juga, beliau turut berkongsi beberapa gambar kunjungannya ke rumah-rumah yang terjejas bagi bertemu mangsa dan menyampaikan sumbangan serta doa.
Kejadian ribut dan angin kuat yang berlaku pada petang Ahad itu menyebabkan 219 rumah dikenalpasti rosak akibat bencana berkenaan di empat kawasan, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!