DOSM muat naik indikator terkini SDG di platform SDG Dashboard
SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memuatnaik indikator terkini iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di platform SDG Dashboard yang telah tersedia 146 indikator peringkat nasional dan 19 indikator peringkat daerah dari 2016 hingga 2020.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata SDG Dashboard menggunakan pendekatan literasi digital dan memaparkan indikator SDG secara interaktif dan mampu menarik lebih ramai pengguna terutama pihak berkuasa tempatan, penyelidik dan pelajar bagi mendapatkan maklumat berkaitan status pencapaian SDG semasa negara sehingga peringkat daerah.
Menurutnya, SDG Dashboard kali ini memaparkan 18 indikator baharu daripada 128 indikator pada tahun sebelumnya.
“Antara indikator baharu peringkat nasional adalah peratusan penduduk luar bandar yang tinggal dalam jarak dua kilometer dari jalan yang boleh digunakan sepanjang tahun dan indikator kadar kitar semula kebangsaan.
“Manakala indikator yang tersedia hingga ke peringkat daerah adalah insiden kemiskinan mutlak; kadar mortaliti; liputan vaksin; individu yang memiliki telefon bimbit dan akses internet; akses kepada bekalan air, sanitasi dan elektrik; kadar pengangguran; pengurusan sisa; statistik CCTV dan bilangan jenayah kekerasan.
“SDG adalah komitmen global ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif dengan 17 Matlamat, 169 Sasaran serta ia mencukupi tiga dimensi antaranya ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Uzir berkata, pencapaian SDG diukur berdasarkan 247 indikator di peringkat global di mana semua indikator ini merupakan penanda aras ke arah kehidupan yang lebih baik dan mampan.
Tambah beliau, pengukuran SDG membolehkan kerajaan dan semua pihak menambah baik perkhidmatan seterusnya menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada generasi masa kini dan akan datang
“Berdasarkan pemerhatian, pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap SDG semakin bertambah melalui penglibatan masyarakat dalam pelbagai program yang melibatkan penjagaan alam sekitar, aktiviti ekonomi dan kegiatan sosial.
“Pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum secara keseluruhannya mempunyai tanggungjawab kolektif terhadap kejayaan SDG,” ujarnya.
“Kerajaan telah membuat inisiatif menubuhkan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan (Yayasan MySDG) yang akan mengawal selia Dana Amanah MySDG.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!