3,245 mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas
ALOR SETAR - Polis menahan seramai tujuh lelaki warga tempatan dan merampas 3,245 mesin melombong bitcoin dalam 44 serbuan menerusi Op Letrik Tenaga National Berhad (TNB) sejak 19 Januari lalu di seluruh Kedah.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, rampasan mesin tersebut membabitkan nilai anggaran sebanyak RM3.2 juta dan operasi tersebut masih diteruskan sehingga Isnin.
Menurutnya, semua individu berusia 35 tahun hingga 45 tahun telah direman untuk membantu siasatan selain masih mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat penyambungan haram arus elektrik dan menjadikan premis perniagaan, premis bekas kilang dan rumah kediaman sebagai platform aktiviti mereka dengan mengupah pekerja mahir membuat penyambungan haram.
"Permintaan yang tinggi terhadap mesin perlombongan dan kenaikan harga mata wang kripto juga mengakibatkan wujud kumpulan penjenayah curi dan pecah rumah bagi memenuhi permintaan pasaran gelap," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, dekat sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, operasi tersebut digerakkan dengan kerjasama TNB dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat dalam mengekang aktiviti haram tersebut yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada masyarakat dan kerugian kepada negara.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mereka yang ditahan di Alor Setar, Langkawi, Sungai Petani dan Kulim itu didapati telah terlibat dengan kegiatan tersebut sejak lima hingga enam bulan lalu.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Dan 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-kedua sekali jika disabit kesalahan.
"Siasatan alternatif di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 turut digunakan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau lebih RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekiranya premis aktiviti disahkan sebagai 'non-domestic area'," ujarnya.
Tambahnya, harga semasa bagi seunit mesin perlombongan ini adalah antara RM1,000 hingga RM1,500 dan setiap satu unit mesin menggunakan tenaga elektrik dengan jumlah antara RM400 hingga RM500 sebulan dengan pengaktifan secara 24 jam.
"Op Letrik TNB ini telah dilancarkan pada 2020 di seluruh negara dan sehingga kini secara keseluruhannya polis Kedah merampas 5,948 mesin bitcoin menerusi 85 serbuan dengan anggaran nilai RM6.6 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!