'Ayah belum sedarkan diri, kos mungkin cecah RM350,000'

Keadaan Kamarulzaman yang masih belum sedarkan diri. Gambar kanan: Kamarulzaman sebelum koma dan pergi ke Korea Selatan mencari rezeki pada Oktober 2019.
Keadaan Kamarulzaman yang masih belum sedarkan diri. Gambar kanan: Kamarulzaman sebelum koma dan pergi ke Korea Selatan mencari rezeki pada Oktober 2019.
A
A
A

JERANTUT- "Ayah masih belum sedarkan diri dan sudah tiga hari tidak dapat menerima sebarang perkembangan dari pihak hospital setakat ini," kata anak sulung Kamarulzaman Mohamed Fauzi@ Jazuli mengenai perkembangan bapanya.

Muhammad Zafifi Mohamed Fauzi, 28, dari Kampung Batu Balai di sini memberitahu, dia dan keluarganya menunggu dengan sabar untuk mengetahui perkembangan ayahnya yang sedang dirawat di sebuah hospital di Cheongju, Korea Selatan.

Kamarulzaman yang juga operator di sebuah kilang tisu di negara itu koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya di negara tersebut pada 23 Disember lalu.

"Sebelum ini, hanya kaki kiri dan mata kanan ayah ada memberi tindak balas.

"Setakat ini, kami sekeluarga mengadakan solat hajat setiap hari sebagai usaha di sini selain menaruh harapan tinggi supaya ayah kembali sedar dan seterusnya dapat dibawa pulang ke sini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, kos rawatan ayahnya masih belum diketahui jumlah sebenar namun ia dianggarkan mencecah hingga RM350,000.

"Kami sedang berusaha mencari dana untuk kos rawatan ayah di sana selain mendapat bantuan penduduk setempat yang buat kutipan derma.

"Sebelum ini, sebanyak RM11,000 telah dilangsaikan bagi menampung kos perubatan satu hari ketika ayah dirawat di Hospital Hyosung, Cheongju, Korea Selatan hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang turut bekerja di sana," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Zafifi (kiri) ketika menerima cek bernilai RM10,000 oleh kerajaan negeri yang disampaikan oleh Nazri(kanan) pada Ahad.
Zafifi (kiri) ketika menerima cek bernilai RM10,000 oleh kerajaan negeri yang disampaikan oleh Nazri(kanan) pada Ahad.

Dalam pada itu, Zafifi juga memberitahu, jangkitan Covid-19 yang juga dihadapi oleh ayahnya juga semakin pulih selepas disahkan positif pada keesokkan harinya selepas dikejarkan ke hospital setelah dilaporkan pengsan pada 8 malam waktu Korea.

"Sepatutnya ayah pulang pada Disember lalu dan ditunda ke Mac namun sekali lagi berubah fikiran untuk pulang pada Julai depan bersama sepupunya, Saloha Adlan, 27 yang bekerja di sebuah kilang lain di Korea.

"Kali terakhir ayah membuat panggilan video dengan ibu (Wan Hayati Wan Yaacob, 53) dua hari sebelum kejadian dan memang ada mengadu kurang sihat," tambahnya.

Anak sulung dari enam beradik itu juga lega kerana sepupu ayahnya, Saloha ada di negara tersebut dan dapat melihat keadaan ayah mereka yang pergi ke Korea pada Oktober 2019.

"Sebelum ini, ayah meniaga air dan buah jambu potong di Bandar Tun Razak Jengka dan mengikut sepupunya ke sana untuk mencari rezeki di Korea.

"Ibu saya memang tidak senang duduk dan risau sejak ayah koma hingga kini," jelasnya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Zafifi turut menghargai keprihatinan kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyumbangkan sebanyak RM10,000 untuk membantu ayahnya yang disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah di kediaman keluarga itu pada Ahad.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga tersebut boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank,(556208131635) atas nama Muhammad Zafifi bin Kamarulzaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!