JPJ tempatkan anggota di kawasan percutian
IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menempatkan anggotanya di beberapa kawasan percutian terkenal seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands serta Port Dickson bagi memantau kenderaan berkonvoi supaya tidak melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan pemandu seperti berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain, serta mengganggu kelancaran trafik.
"Apabila cuti perayaan atau persekolahan, banyak kenderaan berkonvoi ke tempat percutian seperti di kawasan tanah tinggi, kawasan pantai atau di negeri utara.
"Berkonvoi itu tidak salah tetapi apabila mereka berhenti beramai-ramai di tempat yang tidak dibenarkan seperti mahu mengambil gambar sebab ia bukan sahaja satu kesalahan malah mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Isnin.
Baru-baru ini, sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta menerusi akaun mereka di Facebook memuat naik beberapa gambar menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di lorong kecemasan kedua-dua arah di Lebuhraya Temiang-Pantai di Seremban untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, sebanyak 1,329 notis dan saman dikeluarkan JPJ Perak atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang operasi bersepadu TBC bermula 25 Januari lepas sehingga hari ini (Isnin).
Menurutnya ia adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 3,680 kenderaan sepanjang tempoh berkenaan di seluruh negeri ini.
"Menerusi operasi tersebut, seramai enam individu didapati memandu di bawah pengaruh dadah hasil ujian air kencing yang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan yang turut menyertai operasi ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 162 anggota penguat kuasa JPJ Perak ditugaskan sepanjang operasi TBC tahun ini dengan tumpuan penguatkuasaan termasuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!