Jenazah bapa Azizulhasni selamat dikebumikan

Bapa jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni, Allahyarham Awang Embong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun. - Foto Bernama
Bapa jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni, Allahyarham Awang Embong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Jenazah bapa kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, di sini pada 2.45 petang tadi.

Allahyarham Awang Embong, 73, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 2 pagi tadi akibat strok dibawa ke Surau Ustaz Omar Shukri, di sini untuk disembahyangkan sebelum disemadikan bersebelahan dengan pusara ibunya, Rokiah Husain yang meninggal dunia pada 2001.

Abang Mohd Azizulhasni, Mohd Azrul Hafidz, 35 berkata, adiknya yang berada di Melbourne, Australia tidak dapat pulang ke tanah air untuk memberikan penghormatan terakhir kerana isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samad, 36, sedang sarat mengandung dan dijangka bersalin dalam masa terdekat.

"Azizul ada menghubungi kami memberitahu tidak dapat balik kerana isterinya hendak bersalin dan kami adik beradik faham akan keadaannya.

"Kali terakhir dia balik jumpa arwah ayah ketika pulang ke kampung pada awal Januari dan pulang semula ke Melbourne minggu lepas. Dia sempat meminta ayah mendoakan dirinya dan isteri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azrul Hafidz berkata, bapanya sangat menyokong minat anak-anak dan adalah antara watak penting dalam membantu kejayaan Mohd Azizulhasni.

"Semasa Azizul meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, kami beritahu ayah dan arwah senyum. Itu menandakan arwah gembira dengan kejayaan Azizul,” katanya, sambil menambah bapanya menghidap strok lebih lima tahun dan tidak boleh bercakap sejak dua tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!