Sindiket dadah didalangi warga asing tumpas
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing menerusi serbuan berasingan di sekitar ibu kota dan Selangor pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 11.35 pagi.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan enam suspek terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing telah diberkas.
"Operasi bermula dengan serbuan berasingan di tiga hotel dipercayai disewa dan enam suspek berumur lingkungan 20 hingga 42 tahun telah diberkas.
"Siasatan lanjut yang dijalankan kemudian membawa kepada serbuan di sebuah taman perumahan di Selangor sebelum menemui sebuah lori seberat tiga tan bersama dadah dipercayai syabu anggaran seberat 141 kilogram (kg)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur pada Isnin.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati sindiket menggunakan sebuah lori yang diletakkan di taman perumahan di Selangor sebagai lokasi menyimpan dadah.
"Kesemua syabu tersebut dimasukkan dalam bungkusan teh serta disorok dalam lori tersebut.
"Rampasan dijalankan melibatkan dadah jenis syabu seberat 141kg itu bernilai RM5.08 juta serta heroin seberat 0.7 gram bernilai RM35 dan empat biji pil erimin 5 (RM60) dan wang tunai berjumlah RM5,168," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati empat suspek daripada enam suspek yang diberkas mempunyai rekod lampau.
"Empat suspek didapati mempunyai rekod berkaitan dadah selain positif dadah jenis syabu.
"Siasatan mendapati dadah yang dirampas ini untuk diedar sekitar Lembah Kelang," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek yang diberkas direman tujuh hari untuk siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!