Harga maksimum runcit ayam standard dikurangkan 20 sen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang RM9.10 menjadikannya RM8.90.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

"Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Menurutnya, tindakan proaktif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan.

"Pada masa sama memastikan industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.

"Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

"Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar," katanya.

Ujarnya, mesyuarat turut mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.

"Pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang melibatkan 222 Parlimen perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama bersepadu melibatkan kementerian-Kementerian terbabit bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

"Kementerian Kewangan (MOF) diminta untuk mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam," katanya.

Beliau berkata, turut diputuskan, permohonan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh telah dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari lalu.

Selain itu, katanya, koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah bagi mengawal harga.

"Mesyuarat pada hari ini fokus kepada penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga," katanya.

Antara langkah panjang yang turut dibincangkan adalah menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isirong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam.

Selain itu, kerajaan negeri diberi cadangan untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian serta jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli.

"Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!