Makkal Sakti sedia bantu BN menang besar

Hantaran Thanenthiran di Facebook beliau pada Isnin.
Hantaran Thanenthiran di Facebook beliau pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) sudah bersedia untuk membantu mengembalikan mandat rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran berkata, parti itu teguh bersama BN dan mahu memberi kemenangan besar kepada BN.

"Kami hanya ingin memastikan kekuatan BN diperkukuhkan, kami yakin kami bersedia.

"Kalau bukan sekarang bila lagi, Makkal Sakti adalah kuasa rakyat. Biar mandat rakyat diberikan kepada BN!," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Makkal Sakti berhasrat untuk bertanding dalam PRN Johor atas tiket BN.

Thanenthiran berkata, permohonan untuk bertanding sudah disuarakan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sebelum ini pucuk pimpinan BN memberikan maklum balas positif berhubung permintaan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, Makkal Sakti tidak menetapkan apa-apa syarat atau bilangan kerusi yang dipinta.

"Kita hanya perlukan peluang untuk bertanding kerana selama ini kita tidak mengharapkan apa-apa pun melainkan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memperlihatkan banyak 'orang baharu' telah memenangi kerusi dari orang lama apabila berlaku tsunami politik. Ini adalah masanya untuk pastikan kerusi-kerusi mereka yang sudah pun hilang entah ke mana selepas menang dibawa balik kepada BN," katanya.

Thanenthiran menambah, beliau bersama seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Makkal Sakti Johor meluangkan masa menghadiri Mesyuarat Khas bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Ahad.

Ujarnya, mesyuarat itu membincangkan strategi baharu dan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

"Memang sudah lama kami bersama BN, sentiasa setia dan berjuang hingga saat terakhir tanpa mengharapkan apa-apa. Namun rakyat harus dibela dan hak mereka harus diperkuatkan.

"Banyak parti sudah angkat kaki atau pun mencari haluan masing masing, ada juga yang senang-senang lompat ke sana sini, namun percayalah Makkal Sakti tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau apa jua pangkat dan kuasa. Setia kami kepada BN dulu, kini dan selamanya!," tegasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!