200,000 kenderaan masuk Kedah pada Tahun Baharu Cina
ALOR SETAR - Kira-kira 200,000 kenderaan dijangka memasuki negeri Kedah sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Selasa.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata, aliran trafik dijangka meningkat tiga kali ganda pada musim perayaan dan tumpuan akan diberikan kepada lokasi 'panas' nahas jalan raya.
Menurutnya, antara lokasi yang akan diberikan tumpuan adalah di Sungai Petani, Kulim dan Baling.
"Kita akan adakan pemantauan terutamanya kepada kenderaan berat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Wan Hassan berkata, Op Tahun Baharu Cina (TBC) juga turut dilancarkan pada 25 Januari lalu bagi memerangi jenayah kekerasan, samun, ragut dan pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Menurutnya, operasi khas berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi panas kejadian jenayah dan sebanyak 129 tangkapan berjaya dilakukan sehingga Isnin.
"Tangkapan melibatkan pelbagai kes jenayah dan sebanyak 73 barang kes termasuk wang tunai yang dianggarkan bernilai RM26,563 turut dirampas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!