Kematian misteri bekas Ratu Cantik AS
NEW YORK - Bekas Ratu Cantik Amerika Syarikat 2019, Cheslie Kryst ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Orion setinggi 60 tingkat di Midtown, New York pada Ahad.
Kematian Kryst yang juga seorang peguam itu disifatkan sebagai misteri berikutan wanita berusia 30 tahun tersebut sempat memuat naik kapsyen 'semoga hari ini memberi anda ketenangan dan kedamaian' di akaun Instagram miliknya.
"Kami berasa amat sedih dengan pemergiannya. Kecantikan dan kekuatannya telah menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang di seluruh dunia," ujar keluarganya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, Kryst tinggal di tingkat sembilan bangunan pencakar langit berkenaan dan dilihat bersendirian di teres tingkat 29 sebelum insiden tersebut berlaku.
Wanita yang turut bergelar wartawan untuk ExtraTV itu dikatakan meninggalkan sekeping nota yang menyatakan dia mahu meninggalkan segala-galanya buat ibunya yang juga seorang bekas Ratu Cantik North Carolina pada 2002.
"Dia bukan hanya bijak malah dia mempunyai kehidupan yang pasti dicemburui setiap orang," ujar sumber polis.
Pada Oktober 2019, Kryst pernah memberikan petua menerusi Facebook bagaimana dia menangani tekanan ketika Hari Kesihatan Mental Sedunia.
"Saya lakukan banyak perkara untuk mengekalkan kesihatan mental saya.
"Paling penting adalah saya sering berkongsi masalah dengan kaunselor yang memberi saya strategi untuk menghadapi situasi sedih atau gembira atau jika berdepan bulan paling sibuk kerana jadual kerja yang padat," ujar wanita itu sebelum ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!