Roboh rumah di Baitulmaqdis: Kedutaan AS enggan bersemuka
KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur tidak mahu bersemuka dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berhubung bantahan mengenai keganasan rejim Israel yang meroboh rumah penduduk Syekh Jarrah di Baitulmaqdis.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dibenarkan masuk ke kedutaan berkenaan sebaliknya, hanya diminta memasukkan surat bantahan yang hendak diserahkan ke dalam peti surat.
Katanya, surat yang dihantar pada Jumaat lepas hanya dapat diserah melalui tingkap di bilik pengawal kedutan tersebut
“Saya telah menyatakan ketegasan bahawa AS adalah pengecut kerana tidak mahu surat bantahan diterima secara bersemuka...AS bersekongkol dengan Israel meroboh rumah pendudukan Palestin.
“Kami menyatakan bahawa AS tidak boleh diperbudakkan oleh Israel dengan mengabsahkan setiap perbuatan jenayah zionis Israel dan warga Yahudi yang merampas dan memusnahkan ribuan kediaman Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi mendakwa, Israel mempunyai pelan espansionis untuk merampas seluruh bumi Palestin dengan melanggar semua undang-undang antarabangsa.
Ujarnya, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia telah memperakui surat bantahan yang diserahkan itu.
“Kami menegaskan tindakan Israel mesti ditentang habis-habisan tanpa kompromi...Israel berhasrat membersihkan semua pendudukan Palestin dari Baitulmaqdis.
“Kami akan menggembleng seluruh masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa supaya keganasan Israel ditentang secara berterusan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!