Miliki syabu, dua tauke dadah dicekup

Baharudin (dua, kiri) sambil diperhatikan Mohamad Zohan (kiri), Rusdi (dua, kanan) dan Muhammad Haziq menunjukan tiga paket syabu bernilai RM12,000 yang dirampas susulan penahanan dua lelaki.
Baharudin (dua, kiri) sambil diperhatikan Mohamad Zohan (kiri), Rusdi (dua, kanan) dan Muhammad Haziq menunjukan tiga paket syabu bernilai RM12,000 yang dirampas susulan penahanan dua lelaki.
A
A
A

DUNGUN - Dua tauke dadah yang aktif mengedar bahan terlarang itu di sekitar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, sejak setahun lalu bakal berdepan hukuman gantung mandatori jika didapati bersalah apabila ditangkap bersama dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM12,000.

Kedua-dua lelaki yang berusia 37 dan 27 tahun ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari, Khamis lalu selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menyerbu sebuah rumah di AMBS.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdulah berkata, hasil serbuan itu polis berjaya melakukan rampasan keseluruhan berjumlah RM16,020 melibatkan dadah yang dianggarkan bernilai RM12,000, wang tunai sebanyak RM520 dan dua buah motosikal yang dinaiki suspek.

Katanya, motosikal itu terbabit adalah jenis Demak MV110 serta Honda EX5 Dream yang masing-masing dianggarkan bernilai RM1,500 dan RM2,000.

"Pemeriksaan yang dilakukan berjaya menemui tiga paket dadah disyaki jenis syabu seberat 153.10 gram di bawah meja yang telah diubah suai dalam rumah berkenaan.

"Kes ini merupakan rampasan dadah jenis syabu pertama di daerah ini bagi tahun ini dan kita percaya bekalam itu diperoleh suspek dari Pahang," katanya pada sidang media di IPD Dungun hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu adalah timbalannya, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintendan Rusdi Abd Rashid dan pegawai penyiasat kes itu, inspektor Muhammad Haziq Fathe'li.

Baharudin berkata, turut dirampas pada serbuan itu adalah satu bekas kaca disyaki alat menghisap dadah dan lima paket plastik cerah disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, harga syabu yang mahal di pasaran iaitu RM50 untuk satu paket kecil yang cuma beratnya beberapa gram mendorong kedua-dua suspek membawa masuk dadah demi mengaut untung besar.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain suspek yang berusia 37 tahun turut didapati mempunyai tiga rekod lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula tarikh ditangkap untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati mandatori dan sekiranya tidak dihukum gantung mandatori, mereka boleh dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!