Kakak sanggup berhenti kerja demi jaga adik

Noor Hidayah (kiri) menunjukkan kecederaan di bahagian kepala adiknya, Muhammad Adam Hussaini kepada Amirul Syahir (dua dari kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Talipon, mukim Kubang Rotan, di sini, pada Isnin.
Noor Hidayah (kiri) menunjukkan kecederaan di bahagian kepala adiknya, Muhammad Adam Hussaini kepada Amirul Syahir (dua dari kanan) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Talipon, mukim Kubang Rotan, di sini, pada Isnin.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang wanita sanggup berhenti kerja demi menjaga adiknya yang sukar bergerak sendiri akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua minggu lalu.

Noor Hidayah Mohd Dzohir, 25, berkata, dia mengambil keputusan itu bagi menguruskan adik lelakinya, Muhammad Adam Hussaini,12, yang cedera di bahagian kepala dan patah tangan kanan.

“Ibu kami, Nor Masita Murad telah meninggal dunia kira-kira tujuh tahun lalu, jadi saya dan ayah, Mohd Dzohir Saad, 53, yang berulang alik menjaga Adam di hospital ketika dia terlantar.

“Walaupun terselamat, kami perlu memberi tumpuan menjaga Adam disebabkan dia agak sukar bergerak sendiri dan kerap meracau ketika tidur hingga terpaksa didodoi seperti bayi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Talipon, di sini, pada Isnin.

Jelas anak sulung dari lima adik beradik itu, dia yang akan memandikan dan menukar lampin pakai buang adiknya selain menyuapkan makanan setiap hari.

Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi membantu suaminya, Mohd Naim Nasir, 26, yang bekerja sebagai nelayan dan menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Bagaimanapun, saya telah berhenti kerja dan pendapatan bapa sebagai tukang rumah tidak menentu , mujur ada pihak tertentu tampil beri sumbangan selepas mengetahui keadaan adik,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga menganggarkan perlu membelanjakan sekitar RM500 untuk membeli segala keperluan adik lelakinya termasuklah lampin pakai buang, susu dan peralatan mencuci luka.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sehari, lima hingga enam lampin pakai buang digunakan memandangkan Adam sukar bergerak ke bilik air, malah kain balutan di bahagian kepalanya juga perlu ditukar setiap hari,” katanya.

Sebelum itu, nasib Muhammad Adam Hussaini mendapat perhatian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Kuala Kedah yang turut padang menyalurkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan.

Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, mereka prihatin terhadap nasib kanak-kanak itu yang terpaksa bergantung kepada kakaknya untuk menguruskan diri.

Katanya, GPMS Kuala Kedah bercadang untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat badan bukan kerajaan (NGO) dibawah projek Anak Permata bagi memastikan pelajaran Muhammad Adam Hussaini tidak terjejas.

“Kita akan pantau prestasi kanak-kanak ini dari semasa ke semasa bagi melihat tentang keperluannya, sekaligus akan mengikuti perkembangannya hingga peringkat menengah dan kemahiran bagi membolehkan dia mampu menguruskan diri sendiri,” katanya.

Orang awam yang berhasrat menyalurkan bantuan kepada Muhammad Adam Hussaini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 6883412126 atas nama Noor Hidayah Mohd Dzohir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!