Syed Saddiq nafi dakwaan ada banglo
SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan seorang pemilik akaun Twitter bahawa beliau memiliki sebuah banglo.
Sebaliknya, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mendedahkan bahawa beliau menyewa rumah banglo terbabit.
"Ini rumah sewa. Bayar setiap bulan. Rumah tak da kolam renang. Ada tiga bilik dan pejabat.
"Bila jadi menteri, ditawarkan tanah tapi saya tolak. Rumah banglo menteri pun saya tolak. Saya pilih opsyen sewa rumah," ciapnya menerusi Twitter pada malam Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pengguna Twitter yang menggunakan nama Mario dan mempersoalkan pengisytiharan harta dibuati Syed Saddiq berjumlah RM722,312 pada 2019.
Pemilik akaun Twitter terbabit turut memuat naik gambar rumah banglo tersebut yang didakwa dilengkapi kolam renang mudah alih.
Kata Syed Saddiq, beliau pada 2019 juga menjadi menteri pertama mengisytiharkan jumlah aset peribadinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!