Bersabarlah, Pan-Gon bukan ahli magis
BIARPUN telah rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak negara, nama Kim Pan-Gon terus menjadi sebutan dan perbualan hangat peminat sukan tanah air.
Jurulatih dari Korea Selatan itu dilaporkan menerima kontrak selama dua tahun daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bakal didatangkan bersama empat jurulatih lain sebagai pembantu pada Februari akan datang.
Ia dalam misi membentuk semula skuad Harimau Malaya supaya lebih berprestij serta mampu bersaing sebagai sebuah pasukan digeruni di Asia Tenggara.
Ramai peminat ketika ini beranggapan individu kelahiran Korea Selatan itu mampu menjulang kembali kegemilangan skuad bola sepak negara selepas prestasi yang terumbang-ambing ketika penyertaan di piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Malah, tidak kurang juga ada peminat mengharapkan Pan-Gon dapat mengikut jejak langkah dua rakan sejawatnya iaitu Park Hang Seo yang berjaya mentransformasikan bola sepak Vietnam selain Shin Tae Yong yang ‘menghidupkan� kembali bola sepak Indonesia.
Tanggapan yang tinggi itu hadir memandangkan Pan-Gon sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan Bola Sepak Korea (KFA) selain pernah mengemudi pasukan kebangsaan Hong Kong sehingga satu ketika dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu.
Jadi, tidak terkejut sekiranya Pan-Gon dianggap sesetengah pihak sebagai ahli magis yang mampu mengubah prestasi merosot Harimau Malaya dalam sekelip mata meskipun rekod pencapaiannya di pentas dunia sebelum ini agak menggusarkan hati sebilangan peminat bola sepak tanah air.
Ini kerana, berdasarkan rekod di laman sesawang transfermarkt.com, pengendali berusia 52 tahun itu hanya memiliki 37 peratus kemenangan ketika mengendalikan skuad kebangsaan Hong Kong sejak tahun 2013 hingga 2017.
Dalam 43 perlawanan di bawah kendaliannya, Hong Kong meraih 16 kemenangan, sembilan seri, namun merakam 18 kekalahan termasuk tewas 0-1 di tangan Lubnan pada aksi terakhirnya bersama pasukan itu.
Sebagai perbandingan, bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memiliki 49 peratus kemenangan iaitu 20 kemenangan daripada 41 perlawanan.
Bagaimanapun, di sebalik rekod yang sedikit menggusarkan itu, Pan-Gon sebenarnya memiliki rekod tanpa kalah ketika bertemu Malaysia sewaktu mengendalikan Hong Kong dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Ini bermakna beliau sememangnya arif dengan kekuatan dan kelemahan bola sepak Malaysia. Tidak keterlaluan juga jika penulis mengatakan beliau serba-serbi mengetahui dan mengenali landskap bola sepak negara walaupun tidak secara menyeluruh. Justeru, peminat tidak perlu melatah terlalu awal sekiranya tiada sebarang kejayaan dapat dikecapi jurulatih luar itu dalam masa terdekat.
Sebaliknya, peminat perlu memberi Pan-Gon sedikit masa bagi membawa pembaharuan dan menerapkan corak permainan baharu kepada skuad yang akan menjadi pilihannya dalam membentuk pasukan progresif. Peminat Harimau Malaya perlu menerima hakikat bahawa Kota Roma tidak dibina dalam masa satu hari.
Malah, bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson juga memerlukan masa bertahun lamanya untuk membentuk The Red Devils sebagai satu pasukan yang ampuh sehingga digeruni pihak lawan.
Terlalu banyak ‘lopak-lopak' yang yang perlu diturap kembali oleh Pan-Gon sebelum nama Harimau Malaya kembali mengaum, malah menjadi jaguh serta digelar Harimau Asia semula.
Justeru, peminat perlu memberi masa kepada secukupnya kepada jurulatih Harimau Malaya ini dan bukannya menganggap beliau sebagai ahli magis semata-mata yang mampu mengubah skuad Harimau Malaya dalam waktu singkat bagi memuaskan hati semua penyokong bola sepak di Malaysia.
* Muhammad Zulkarnain Mohd Azman ialah Wartawan Sukan Sinar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!