12 jam kukus kuih bakul guna dapur kayu

Choo Im ketika ditemui sedang menyiapkan kuih bakul di rumahnya di Kampung Tiruk, Kuala Terengganu.
Choo Im ketika ditemui sedang menyiapkan kuih bakul di rumahnya di Kampung Tiruk, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas dari Kampung Tiruk, di sini mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan 10 kilogram kuih bakul atau nian gao yang setiap satunya perlu dikukus selama 12 jam bagi memastikan ia betul-betul masak dan tahan disimpan sehingga setahun.

Yee Choo Im, 72, berkata, biarpun terpaksa berdepan kesukaran untuk menghasilkan kuih tradisional itu, dia gembira kerana juadah itu dapat disajikan kepada tetamu dan dijadikan buah tangan buat anak-anak yang pulang sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, ilmu yang diwarisi daripada mendiang ibu mentuanya sejak 1966 itu masih diteruskan sehingga kini biarpun banyak teknologi moden di pasaran yang membantu menghasilkan kuih bakul dalam tempoh singkat.

"Untuk menghasilkan kuih bakul yang tahan lama, saya guna beras pulut. Ia perlu direndam semalaman, dikisar menggunakan pengisar batu dan dikeringkan dahulu sebelum dikukus menggunakan dapur kayu.

"Proses mengukus kuih bakul memakan masa lama kerana beras yang bewarna putih itu perlu dikukus sehingga warnanya bertukar merah.

"Selagi warnanya putih ia belum benar-benar masak, belum cantik kerana warnanya belum kemerah-merahan," katanya.

Ditanya pantang larang ketika memasak kuih bakul, Choo Im berkata, menurut kepercayaan mereka, sesiapa yang melihat proses mengukus tidak boleh menegur sama ada kuih bakul sudah masak kerana ia mempengaruhi kuih tersebut.

"Peristiwa ini pernah berlaku kepada saya sendiri di mana kuih bakul yang sedang dikukus tidak masak selepas cucu saya menegur sama ada ia sudah masak atau belum.

Artikel Berkaitan:

Choo Im membungkus kuih bakul yang disiapkan 10 hari lebih awal untuk dihidangkan sempena Tahun Baharu Cina.
Choo Im membungkus kuih bakul yang disiapkan 10 hari lebih awal untuk dihidangkan sempena Tahun Baharu Cina.

"Kuih bakul ini tidak masak selepas lebih 10 jam dikukus dan warnanya hanya putih, cair dan tidak masak," katanya.

Menurut Choo Im, ketika mendiang suaminya, Chia Ban Hock masih ada, dialah yang selalu membantu menyiapkan tempahan kuih bakul.

"Saya pernah terima tempahan sehingga 1,000 biji kuih bakul. Sekarang saya sudah berhenti menerima tempahan kerana sudah tidak mampu siapkan seorang diri," katanya.

Mendiang suaminya meninggal dunia tujuh tahun lalu ketika berusia 81 tahun dan kini Choo Im tinggal bersama anak lelaki, Chia Soon Thye, 37, serta menantunya di kediaman itu.

Choo Im yang berdarah Cina Peranakan berkata, Tahun Baharu Cina kali ini disambut secara sederhana dan dia menyediakan 150 biji kuih bakul untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang pulang sempena perayaan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!