Biarpun 20 sen, rakyat pastinya lega
BERITA baik yang diumumkan kerajaan bahawa harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen menjadi RM8.90 daripada harga siling pastinya cukup melegakan rakyat.
Pengurangan itu biarpun nampak kecil bagi segelintir orang, namun bagi mereka yang kurang berkemampuan ia sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung, dapatlah berjimat.
Beban perbelanjaan harian isi rumah ketika ini cukup menekan rakyat kerana kebanyakan barang keperluan mencatatkan kenaikan harga ketara sejak November lalu.
Ketika itu, media melaporkan ada peniaga menjual ayam standard hingga mencecah RM10 sekilogram.
Pada masa sama, rakyat turut berdepan dengan kenaikan harga minyak masak kerana ada minyak masak botol lima kilogram dijual melebihi RM30 selain minyak masak peket satu kilogram yang disubsidi kerajaan pula semakin sukar diperoleh di pasaran.
Rakyat terus terhimpit kerana selepas itu lebih banyak barang keperluan naik harga termasuk sayur-sayuran.
Pendek kata, secara puratanya kalau dahulu berbelanja penuh troli cuma RM300 hingga RM500 tetapi sekarang jumlah perbelanjaannya sudah berganda.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin tentang pengurangan harga maksimum runcit ayam standard itu sesungguhnya amatlah dinantikan rakyat.
Ismail Sabri berkata, harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.
Katanya, pelaksanaan kedua-dua harga tersebut bermula 5 Februari sehingga 5 Jun depan.
“Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.
“Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya dalam kenyataan.
Di sebalik perkara itu, rakyat juga semestinya berharap kerajaan dapat turut sama mengawal harga barang-barang keperluan lain.
Perlu diakui, rakyat sudah tidak ada banyak pilihan untuk berjimat kerana barang-barang keperluan yang dahulu murah seperti sardin dan ikan bilis pun, sekarang harganya sudah 'terkeluar' dari senarai harga murah.
Lebih perit, kadar gaji atau upah masih ditakuk lama bahkan ada yang dipotong gaji selain ramai juga rakyat yang menganggur impak pandemik sejak dua tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!