Beriadah naik perahu layar di Tasik Timah Tasoh
PADANG BESAR - Pengunjung Tasik Timah Tasoh di sini kini berpeluang merasai pengalaman beriadah di atas perahu layar bertemankan panorama indah sekitar tasik.
Jurulatih perahu layar Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Salehhodin Hamzah berkata, perahu layar jenis Hobie Catamaran Gateway itu dibawa pulang dari Pantai Chenang, Langkawi kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, selepas melalui beberapa penambahbaikan, perahu layar berkenaan mula beroperasi di Tasik Timah Tasoh mulai Sabtu lalu.
"Selepas selesai buat penambahbaikan, saya cuba berlayar dahulu untuk melihat kesesuaiannya supaya keselamatan pelanggan terjamin.
"Alhamdulillah nampaknya semua berjalan lancar dan ini adalah perahu layar pertama yang berlayar di tasik," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurutnya, terdapat tiga pakej promosi pengenalan ditawarkan kepada pengunjung dengan harga serendah RM80 untuk empat orang.
"Pakej pertama ini menawarkan pelayaran selama 20 minit di sekitar tasik ini manakala pakej kedua pula berharga RM120 untuk 45 minit.
"Pakej terakhir pula berharga RM200 untuk 1 jam 45 minit dan dalam pakej ini kita beri peluang kepada pengunjung untuk meneroka Tasik Timah Tasoh termasuk ke Santuari Ikan Air Tawar yang terletak di seberang tasik," katanya.
Salehhodin menambah, pakej perahu layar di tasik itu turut dikendalikan oleh Hermission iaitu pasukan yang dianggotai oleh mereka yang berpengalaman dalam sukan perahu layar.
"Untuk memudahkan urusan, kita galakkan pengunjung membuat tempahan terlebih dahulu melalui nombor telefon yang tertera pada 'banner' di tepi tasik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!