Ujian psikometrik tambah nilai pada bakal calon PRN Johor: Fahmi
SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bersetuju dengan cadangan supaya calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ia berikutan kerana pengambilan ujian tersebut dapat menambah nilai positif dan secara langsung meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan mereka.
Ujar beliau, meskipun senarai calon yang bakal bertanding masih belum dimuktamadkan, namun, beliau mengalu-alukan kepada mereka yang ingin menjalankan ujian tersebut.
“Secara peribadi, saya boleh bersetuju dengan cadangan tambah nilai bagi calon-calon PRN Johor.
“Kalau pra-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai calon dari Pakatan Harapan (PH) termasuk saya sendiri telah melakukan perisytiharan harta secara terbuka, dan ini telah sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa kami tiada isu atau masalah berhubung rasuah.
“Bagi ujian psikometrik ini, saya alu-alukan bakal-bakal calon untuk tampil walaupun parti tidak mengarahkannya. Cuma pada waktu ini senarai calon belum dimuktamadkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!