Perdana Menteri Kanada diuji positif Covid-19
OTTAWA - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata pada Isnin bahawa beliau diuji positif Covid-19, namun berada dalam keadaan baik dan akan terus bekerja dari rumah.
Menurut laporan daripada Reuters, Trudeau menjalani pengasingan minggu lalu selepas salah seorang anaknya disahkan positif wabak itu, namun ketika itu ujian pantas Covid-19 yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif.
"Pagi ini (Isnin), saya diuji positif Covid-19. Saya berasa baik dan saya akan terus bekerja dari jauh minggu ini sambil mengikuti garis panduan kesihatan awam," kata Trudeau dalam satu catatan di Twitter.
Akibat jangkitan itu, Trudeau tidak dapat menghadiri sidang Parlimen yang dibuka semula pada Isnin selepas cuti musim sejuk, namun berhasrat mengikutinya secara maya.
Pada Mac 2020, Trudeau, 50, menjalani tempoh pengasingan selama dua minggu selepas isterinya, Sophie, diuji positif Covid-19.
Beberapa menteri kabinet Kanada, termasuk Menteri Luar, Melanie Joly juga telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan yang lepas.
Pemimpin dunia lain yang pernah dijangkiti koronavirus termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang kedua-duanya jatuh sakit pada tahun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!