Pasukan khas pantau samseng jalanan di Kelantan
KOTA BHARU - Polis Kelantan mewujudkan pasukan khas bagi memantau aktiviti samseng jalanan terutama berkait dengan pemanduan secara melulu di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, pihaknya mengambil serius perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
"Berdasarkan kepada pemerhatian, kita dapati kebanyakan individu yang terlibat dengan aktiviti ini ialah golongan remaja dan muda," katanya selepas turun padang meninjau Op Khas Sempena Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada Isnin.
Menurut Shuhaimi, kebiasaan mereka yang pernah ditahan terlibat dengan samseng jalanan berusia antara 16 hingga 25 tahun.
Katanya, sekiranya ditangkap individu terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas mengenai operasi berkenaan, beliau berkata, sebanyak 192 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut yang melibatkan empat lokasi iaitu di hadapan Open University Malaysia (Jalan Kota Bharu - Lundang); Jambatan Sultan Yahya Petra, hadapan Sekolah Padang Enggang dan lampu isyarat Limbat.
"Sebanyak 179 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
"Daripada jumlah itu, kesalahan nombor pendaftaran direkodkan paling tinggi iaitu 60, insurans (51), tiada lesen (44) dan lain-lain kesalahan," katanya.
Menurutnya, operasi tersebut turut membuat ujian alkohol bagi mengesan pemandu mabuk.
Katanya, seramai 35 pemandu yang diperiksa itu didapati negatif dan bebas pengaruh alkohol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!