Rangers sambar Ramsey
GERGASI Liga Scotland, Rangers FC telah menandatangani pemain tengah Wales, Aaron Ramsey dari Juventus secara pinjaman sehingga akhir musim, kata juara Scotland itu pada Isnin.
Kelab Glasgow itu sebelum ini berdepan saingan sengit beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi khidmat pemain berusia 31 tahun tersebut, yang merupakan antara pemain berpendapatan tinggi di Juventus.
Media melaporkan Crystal Palace, Wolves dan Burnley antara kelab yang berusaha mendapatkan bekas pemain tengah sensasi Arsenal itu.
"Saya sangat gembira dapat menyertai kelab seperti Rangers, di mana terdapat banyak cabaran yang menanti sekarang dan Mei.
"Saya mendapat beberapa tawaran sebelum ini, tetapi tidak ada yang menyamai daya penarik Rangers FC, dengan aura pentas bola sepak Eropah dan peluang bermain di hadapan 50,000 penyokong setiap minggu," kata Ramsey.
Bagaimanapun Rangers tidak mengumumkan sama ada membelinya atau tidak dalam perjanjian itu.
Ramsey hanya melakukan lima penampilan dalam semua pertandingan untuk Juventus sepanjang kempen 2021-22 berikutan kecederaan.
Dia tidak beraksi untuk kelab Serie A itu sejak kali terakhir diturunkan sebagai pemain gantian selama enam minit ketika menentang kelab Rusia, Zenit St Petersburg dalam saingan Liga Juara-Juara pada 20 Oktober tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!