Selangor sumbang bantuan berjumlah RM320,000 di PKRC MAEPS

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyumbang pelbagai bantuan berjumlah RM320,000 bagi melancarkan lagi operasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan berkenaan disalurkan semasa MAEPS diaktifkan dan menerima ribuan pesakit Covid-19 yang ditempatkan ke pusat kuarantin dan rawatan berkenaan.

"Kerajaan negeri membantu dengan sumbangan tablet bagi kegunaan petugas, bantuan logistik, makanan serta kos pengurusan taska bagi petugas barisan hadapan di MAEPS berjumlah RM320,000 selama setahun," katanya di laman Facebooknya pada Selasa.

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dijangka secara rasminya ditutup pada 8 Februari ini dan difahamkan kumpulan terakhir pesakit Covid-19 yang menerima rawatan telah dibenarkan keluar pada Isnin.

Pada 30 Mac 2020, PKRC Bersepadu MAEPS 1.0 mula beroperasi dan tamat pada Julai 2020 namun pada 9 Disember 2020, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 diaktifkan semula berikutan peningkatan kes.

Awalnya, pengambilan pesakit hanya membabitkan pesakit bukan wargananegara bagi kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) namun pada 24 Januari 2021, ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori 3 (radang paru-paru) dan 4 (memerlukan bantuan pernafasan) dengan skala yang sederhana.

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang beroperasi di tujuh dewan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa.

Pengurusan PKRC berkenaan membabitkan kolaborasi antara 19 agensi diterajui bersama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan kekuatan anggota harian seramai lebih 1,500 kakitangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!