Kapal tangki Panama ditahan bersauh tanpa kebenaran
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki dari Panama yang disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur di sini, pada Isnin.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu ditahan kira-kira jam 1 petang di kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau, di sini.
Beliau berkata, ketika ditahan kapal tangki itu didapati dikendalikan 24 kru terdiri daripada warga Ukraine, India dan Rusia berusia 21 tahun hingga 49 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati nakhoda kapal telah gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh. Mereka juga menggunakan alasan melakukan kesalahan itu kerana sedang menunggu arahan perlayaran dari pihak syarikat.
“Nakhoda kapal kemudiannya dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Nurul Hizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Pihak syarikat perkapalan dinasihatkan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!