Bot pelancong berlanggar: Tujuh mangsa dirawat di HSNZ

Tujuh individu yang cedera dalam insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang Isnin, kini dirawat di HSNZ.
Tujuh individu yang cedera dalam insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang Isnin, kini dirawat di HSNZ.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tujuh individu yang cedera dalam insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang Isnin, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua mereka yang berusia antara empat hingga 70 tahun kini dilaporkan stabil.

"Daripada tujuh individu itu, dua adalah dewasa dan lima lagi adalah kanak-kanak. Seorang pesakit dewasa kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi bantuan pernafasan, manakala seorang lagi dewasa berada di wad biasa dengan bantuan mesin oksigen.

"Empat kanak-kanak pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Dua diberi bantuan pernafasan dan dua lagi diberi bantuan mesin oksigen, manakala seorang lagi kanak-kanak berada di wad biasa dengan bantuan mesin oksigen,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.

Dr Kasemani berkata, seorang individu yang dimasukkan ke wad Hospital Besut pula telah dibenarkan pulang, manakala beberapa lagi individu hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Dalam kejadian yang berlaku jam 3.30 petang Isnin, bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang, berlanggar dengan bot yang dinaiki tiga nelayan di kawasan jeti.

Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!