Pesalah perlu tanggung pampasan, kos pembersihan
PASIR GUDANG - Pesalah pencemaran kimia di Sungai Kim Kim perlu menanggung kos pembersihan dan pampasan kepada mangsa yang terkesan.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hukuman penjara dan denda tidak memadai.
"Selain hukuman penjara dan denda pesalah juga perlu membayar pampasan kepada pesakit.
"Saya juga amat setuju bukan hanya pampasan tapi kos pembersihan sungai turut ditanggung pesalah," katanya selepas melawat pusat saringan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga dicadangkan segera mengumumkan pemberian pampasan itu bagi mangsa yang menerima rawatan di hospital ataupun di pusat saringan.
Dalam pada itu, beliau menekankan soal keperluan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam hal hukuman diperuntukkan
"Hukuman perlu diperketatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, RM 2 juta atau RM3 juta daripada lima tahun penjara kepada 10 atau 15 tahun penjara.
"Supaya bencana dahsyat ini tidak berlaku pada masa akan datang. Saya minta supaya ia diperjelaskan lagi. Pindaan akta ini perlu dilakukan secepat mungkin," katanya.
Menurutnya, meskipun idea pindaan akta itu datang daripada pembangkang, kerajaan perlu mengetepikan sentimen politik demi kepentingan rakyat.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!