Terima kasih jadikan London rumah keduaku...
PIERRE-EMERICK Aubameyang mengakui cukup terluka dengan cara dia meninggalkan Arsenal, namun menegaskan sentiasa fokus kepada kelab sensasi London itu.
"Kepada para penyokong Arsenal, terima kasih kerana menjadikan London sebagai rumah untuk saya dan keluarga selama empat tahun lalu. Kami melalui suka duka bersama dan sokongan padu anda bermakna bagi saya dan keluarga.
“Mempunyai peluang untuk memenangi trofi dan penghormatan menjadi kapten kelab ini adalah sesuatu yang saya akan simpan dalam hati selama-lamanya.
“Sejujurnya saya sentiasa 100 peratus fokus untuk melakukan segala yang mampu untuk kelab ini, itulah sebabnya pergi tanpa ucapan selamat tinggal memang menyakitkan, tetapi itulah bola sepak," ujar pemain berusia 32 tahun itu selepas Arsenal mengesahkan pemergiannya.
Pada masa sama bekas penyerang Borussia Dortmund itu turut terkilan kerana tidak dapat membantu rakan sepasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
"Saya sedih tidak mendapat peluang untuk membantu rakan sepasukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
"Namun saya tidak mempunyai apa-apa selain menghormati keputusan kelab ini dan mendoakan semua pemain serta penyokong berada dalam keadaan terbaik dan berjaya pada masa depan! Sayang Auba," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!