Polis tingkat kawalan lokasi ribut, elak curi besi

Keadaan kediaman yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ahad lepas. (Gambar kecil: Yahaya)
Keadaan kediaman yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ahad lepas. (Gambar kecil: Yahaya)
A
A
A

IPOH - Polis meningkatkan kawalan keselamatan di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini yang terjejas akibat ribut bagi mengelak kejadian curi terutama melibatkan besi, kabel dan zink.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kawalan dan rondaan itu dijalankan sejak Ahad melibatkan unit rondaan (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan tugasan anggota dari balai berhampiran.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa di kawasan terlibat, wujud kecenderungan berlakunya kegiatan curi memandangkan masih terdapat barang seperti besi dan zink berada dalam keadaan berselerak.

"Setakat ini kita belum terima sebarang laporan berkaitan kes kecurian, begitupun kawalan dan rondaan tetap dipertingkatkan.

"Macam besi dan zink-zink yang berterbangan, itupun boleh dikira berharga juga, jadi kita percaya ia mungkin akan dijadikan sasaran oleh-oleh pihak-pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan," katanya di sini pada Rabu.

Beliau turut menasihati mangsa terlibat agar memberi perhatian kepada aset-aset rumah sepanjang meninggalkan kawasan kediaman.

"Mana-mana barang berharga yang boleh diselamatkan, eloklah selamatkan dahulu," katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata, sehingga Rabu, sebanyak 305 laporan polis berkaitan kerosakan rumah akibat ribut telah diterima.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan masih ada laporan baru diterima daripada mangsa terjejas.

"Kita minta mana-mana mangsa yang terkesan dalam kejadian ribut lalu untuk segera tampil buat laporan bagi memudahkan urusan terutama yang melibatkan tuntutan bantuan daripada kerajaan," katanya.

Ahad lalu, ratusan rumah di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai musnah dalam kejadian ribut mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!