19 tahun melarikan diri, tokan dadah akhirnya diberkas
GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Kelicikan seorang lelaki melarikan diri daripada polis sejak 2003 akhirnya tumpas apabila dia ditahan di tepi jalan di Kampung Kubang Edang, Bechah Keranji, Melor, Isnin lalu.
Dalam pemeriksaan jam 9.30 pagi itu, penarik kereta berusia 38 tahun dipercayai pengedar dadah itu dalam keadaan khayal ketika ditahan dan sepucuk pistol jenis semi auto Zaroki serta 10 butir peluru hidup ditemui dalam poket seluarnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek juga menemui dua bilah pedang samurai dan satu gelen plastik putih yang disyaki mengandungi dadah.
"Pemeriksaan turut dibuat di rumahnya yang terletak 200 meter dari lokasi dia ditangkap dan menemui 10,000 pil jenis epam serta wang tunai RM54,000 yang dipercayai wang hasil jualan dadah.
"Polis turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s dan sebuah kereta Honda Civic," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, pada Rabu.
Menurutnya, berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku membeli pistol dan peluru hidup tersebut dari seorang lelaki yang dipercayai warga Thailand awal September lalu dengan harga RM2,200 dengan alasan untuk keselamatan diri.
Katanya, suspek berkenaan juga dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
"Suspek direman seminggu bermula Isnin dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (PLB)," katanya.
Shafien berkata, suspek yang juga positif dadah jenis methamphetamin itu dijejaki polis sejak 19 tahun lalu kerana melarikan diri dari Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang selepas diminta menunjukkan kad pengenalan diri.
Shafien berkata, suspek juga mempunyai tiga rekod lampau iaitu di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!